Sistem Modular mula Jun
Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Sistem baru bagi peperiksaan Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) yang dikenali sebagai Sistem Modular akan
mula dilaksanakan pada penggal baru persekolahan Jun ini dengan
peperiksaan mengikut sistem itu bermula November 2012 bagi penggal
pertama.
Malah, Sistem Modular itu juga yang membabitkan keputusan atau
markah diperoleh calon ditentukan menerusi Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) dan peperiksaan berpusat akan memberi lebih keseronokan
belajar kerana pengajian di peringkat tingkatan enam rendah dan atas
mirip sistem pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) seperti kolej
dan universiti.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad
Zarkashi berkata, menerusi sistem pengajian baru dan peperiksaan STPM
menggunakan Sistem Modular, ia diharap menarik minat pelajar meneruskan
pengajian ke tingkatan enam yang kebelakangan ini didapati lebih
berminat memasuki kolej atau universiti bagi mendapatkan diploma dan
lebih cepat untuk bekerja.
Katanya, dengan adanya pendekatan baru itu diharap akan
meningkatkan semula minat pelajar meneruskan pengajian mereka ke
tingkatan enam sebelum memasuki IPT untuk meneruskan pengajian di
peringkat ijazah.
“Sistem Modular ini (pengajian di
Tingkatan Enam) sebenarnya seperti sistem belajar di universiti dan ia
juga akan lebih meringankan pelajar sepanjang berada di Tingkatan Enam.
“Selain itu menerusi sistem ini, pelajar boleh mengulangi semula
peperiksaan di penggal akhir (penggal ketiga) jika keputusan penggal
pertama tidak memuaskan kerana keputusan peperiksaan itu (STPM)
digabungkan berasaskan keputusan peperiksaan ketiga-tiga penggal
menerusi PBS dan peperiksaan berpusat,” katanya selepas merasmikan
Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan
Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring,
semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi,
Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Dr Mohd Puad mengulas laporan akhbar semalam mengenai peperiksaan
STPM dirombak mulai tahun ini dengan keputusan atau markah yang
diperoleh pelajar akan ditentukan menerusi PBS dan peperiksaan berpusat.
Katanya, pentaksiran akan menggunakan dua kaedah yang akan
dilaksanakan sepanjang satu setengah tahun pengajian iaitu PBS dengan
markah 20 hingga 40 peratus dan peperiksaan akhir berpusat yang mewakili
markah 60 hingga 80 peratus untuk menentukan tahap kelulusan setiap
calon dan penggunaan sistem taksiran baru itu dilaksanakan selaras
dengan Program Transformasi Pendidikan dan salah satu usaha kerajaan
memperkasakan program pendidikan tingkatan enam.
Ditanya mengenai penambahbaikan dan perubahan baru yang akan
dilakukan terhadap peperiksaan awam lain membabitkan Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berkata, hanya SPM saja sistem
peperiksaannya akan dikekalkan manakala peperiksaan awam lain seperti
PMR dihapuskan menjelang 2016 dan digantikan dengan sistem PBS seperti
peperiksaan STPM dan UPSR.
“Seperti peperiksaan UPSR, 40
peratus markahnya akan berdasarkan PBS dan 60 peratus peperiksaan
berpusat dan mulai tahun ini kita sudah memulakan sistem PBS di tahun
satu,” katanya.